Rabu, 30 Mac 2011

Catatan masa lalu..

“ Budak bodoh memang begitu, di suruh sekali tak faham-faham, emak dia tak pernah ajar agaknya!!”..marah Mak Uda kepada ku apabila aku tidak membuat apa yang diperintahkannya. Emak hanya mendengar tanpa boleh berkata apa-apa. Aku tahu tika itu hati emak sakit benar mendengar sindiran Mak Uda. Emak seorang yang menghormati orang, tidak seperti Mak Uda, suka cakap lepas. Kalaulah aku sudah besar seperti sekarang mahu sahaja rasanya aku menenyeh muncungnya dengan cili, biar dia tahu rasa. Gigi jongang Mak Uda akan ku ‘cepuk’ biar berderai ke bumi. Barulah dia sedar agaknya. Erm..tapi apa daya ku, waktu itu aku baru berusia 5 tahun. Lagipun, emak tidak pernah mengajar anak-anaknya bersikap kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Aku hanya boleh diam, tunduk dan menelan liur yang terasa begitu kelat di kerongkong. Menangis??...tidak sama sekali!!..
Aku lemas dengan pelbagai panggilan menghina yang dihamburkan oleh adik-adik abah, kecuali ‘ucu’ mungkin dia tahu mengenang jasa abah yang banyak berkorban sehingga dia berjaya. Menantu kesayangan Opah ‘Mak Uda’ lagi dahsyat, mulutnya tiada insurant langsung. Cakap main redah saja, tapi mereka akan diam bila abah ada di situ, takut agaknya. Bila abah tiada macam-macam cacian mereka. “ inilah anak ‘Nyah E’ yang nombor 3”… ‘Nyah E’ panggilan abah aku dalam keluarganya, panggilan anak kedua dalam masyarakat Perak… “anak tergolek terlentang…kah kah kah” berderai ketawa mereka. ..semua yang ada di situ tergelak memandang aku. Sakitnya hatiku apabila dihina sebegitu. Mak Yang dan Mak Uda masing-masing ketawa besar bila memperkenalkan aku kepada tetamu yang datang. Persis nenek kebayan!...Mereka memang memanggil aku dengan gelaran tersebut ‘anak tergolek terlentang’. Mereka suka benar mengata kami adik-beradik budak bodoh. Opah selalu diam saja, tidak mesra dengan kami tapi dengan cucu-cucu lain dia ‘ok’ saja, mungkin opah tidak suka dengan cucu ‘ banjar’.
Aku mengikuti abah ke kedai Pak Bedul. Abah berhasrat untuk menjual pisang. Memandangkan keperluan dapur sudah habis, pagi itu abah sudah tiada ikhtiar lagi, pisang yang ditanam di depan rumah ditebangnya, hendak dijual untuk mendapatkan duit. Masa itu gaji belum dapat lagi. Sampai di kedai Pak Bedul, pisang yang abah tebang di timbang menggunakan timbang kati, zaman dahulu tiada alat timbangan seperti sekarang. Aku leka melihat pisang-pisang itu di timbang. Neraca timbangan yang digunakan sama seperti yang pernah ku lihat terdapat pada bendera biru sebuah ‘parti politik’. Abah kata timbangan itu dipanggil ‘dacing’. Hanya sebahagian saja pisang itu di timbang, yang lain di buang Pak Bedul. Pak Bedul merengus kasar, dia seperti marah kepada abah, katanya “ pisang serupa ini, bagi pada ‘tonyok’ aja.  Tonyok  merupakan panggilan untuk babi hutan dalam dialek Perak,…“ Tonyok pun tak kebulur, pisang muda!..” abah diam saja, nampak wajah sedih abah. “ Tak apalah, saya bawa balik saja pisang-pisang tu, yang elok saya jual” balas abah. Aku kasihan melihat abah diperlakukan begitu. Dalam hatiku berkata, andainya aku sudah dewasa aku tidak akan membenarkan sama sekali sesiapa menghina keluarga aku.
Hari ini, abah mendapat gajinya. Seperti biasa abah akan membawa kami adik-beradik pergi bersiar-siar keliling kampung. Masa itu kami hanya tiga beradik, aku, Kak Ngah dan Along. Masa ini akulah yang paling bongsu. Kami menaiki motosikal ‘Honda Ferm merah’ milik abah. Along dan Kak Ngah duduk di belakang, manakala aku duduk di hadapan pada raga motosikal. Angin yang bertiup menolak rambutku ke belakang, sejuk rasanya, tapi aku seronok dapat duduk di hadapan walaupun sempit. Selalunya bila dapat gaji abah akan membawa kami makan di kedai ‘Wak Iman’. Aku paling gemar mee bandung di kedai itu, memang terbaik!. Acik Lee selalu menyakat aku. Bila nampak aku datang di kedai mertuanya itu, mesti dia akan bergurau denganku, “ ini bila dah besar nanti jadi menantu acik lah iye?..usik Acik Lee. Aku tidak suka bila diusik begitu, kadang-kadang dia mengacah ingin membawaku pulang ke rumahnya, handak dijadikan menantu katanya. Ermmm..masakan umurku 5 tahun nak dijadikan menantu?
Aku duduk di halaman rumah sambil mendengar radio, itulah hobi ku semasa kecil, jika tidak keluar bermain, aku akan mendengar radio, aku suka mendengar lagu, walaupun masih kecil tetapi aku sudah boleh menghafal beberapa lirik lagu, bagiku lagu boleh memotivasikan diri dan menenangkan. Lagu Azian Mazwan Safuan berkumandang lagi, lagu itu menggamit pendengaran ku, ‘Rumah Kecil Tiang Seribu’  liriknya lebih kurang begini :
Rumah kecil tiangnya seribu
Rumah besar tiangnya sebatang
Waktu kecil kau di timang ibu
Dewasa mu di pukul gelombang
Berhijrah ke alam remaja
Menguji ketabahan jiwa
Tiada seindah impian
Sesungguhnya hidup perjuangan
Cabarannya tetap datang
Umpama laut bergelombang
Yang gagah akan berdiri
Yang lemah akan ketepi
Berjaya disanjungi
Kecewa dibenci
Begitulah lumrah manusia
Agar kau tak kecewa

  Ku tenung rumah usang itu lama-lama, rumah itu kecil, rumah kayu, rumah kampung, tidak seperti rumah orang lain, walaupun kayu tetapi besar dan cantik, pernah terdetik dalam hatiku, suatu hari nanti aku akan menjadikan rumah itu seperti mahligai, aku ingin menggantikan rumah kayu kepada rumah batu, cantik dan indah untuk kami sekeluarga. Namun, aku tetap bersyukur kerana seburuk mana pun  itulah rumahku, itulah syurgaku.  Lagu ‘Rumah Kecil Tiang Seribu’  ini, memberi makna yang mendalam dalam hidup ku, sesungguhnya kehidupan ini adalah satu cabaran, hanya kejayaan saja yang boleh mengubah kehidupan manusia, kita akan di sanjung jika berjaya tetapi di keji bila kita menghadapi kegagalan. Walau sebanyak mana pun kegagalan dan kekecewaan yang ditempuhi, kita jangan berputus asa, sebaliknya terus berusaha kerana kegagalan dan dugaan yang mendatang bukanlah penghalang untuk kita berjaya. Pujangga ada berkata “sekali kita gagal, tidak semestinya kita gagal untuk selamanya” . Tidak kira berapa kali kita jatuh, tetapi yang penting bagaimana kita cuba bangun semula dari kejatuhan itu, jangan biarkan kejatuhan itu melemahkan kita.
Hermm..satu keluhan berat ku lepaskan. Sebak rasanya bila mengingati zaman kecil ku. Tambahan pula ramai orang tidak suka dengan kami. Sedihnya bila menjadi keluarga terbuang. Tapi tidak mengapalah, mungkin ada hikmahnya kami ‘ terbuang’. Ramai yang menghina kerana kemiskinan kami. Ramai yang mengatakan kami budak bodoh, biarlah mereka seronok menghambur hinaan itu, kami sudah lali. Penghinaan itu, menjadi pembakar semangat untuk kami berusaha, buktinya sekarang abang dan kakak ku berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik, kini aku pula sedang menghabiskan ‘degree’ Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling’ . Terbukti tanggapan mereka bahawa kami budak bodoh tidak benar. Setiap individu itu mempunyai kelebihan masing-masing. Bidalan Cina ada menyatakan  “ Secara semulajadi semua manusia itu sama , tapi palajaranlah yang menjadikan mereka cukup berbeza”. Kini aku akan buktikan kepada mereka yang selalu menghina dan merendah-rendahkan kami, bahawasanya kami bukanlah orang yang gagal dan lemah....
                                                                                                                   bersambung....